‘TUBE’ Mtalent Bantu Peserta Rangka Pelan Transformasi

BANDUNG, 27 September 2024 – MTalent memperluas program latihannya, khusus bagi membantu peserta dalam merangka pelan transformasi menggunakan kaedah Transformasi Organisasi melalui Tadbir Urus Bersepadu (TUBE).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif , MTalent, YBhg. Dato’ Dr. Musa Ali. Beliau berkata, program latihan yang dijalankan turut berperanan dalam memberi pemahaman kepada organisasi mengenai keperluan dan kepentingan proses transformasi serta mengenal pasti elemen penting dalam melaksanakannya.
“Untuk kekal relevan dan berdaya saing, setiap organisasi tidak dapat mengelak daripada melakukan transformasi, namun yang menjadi isunya adalah bagaimana cara menterjemahkan hala tuju organisasi ke dalam bentuk strategi dan tindakan,” ujarnya. Justeru katanya, program latihan yang ditawarkan MTalent itu dirangka khusus bagi membantu para peserta untuk lebih memahami strategi organisasi, sekaligus menjayakan matlamat membangunkan pelan transformasi.
“Kandungan program latihan merangkumi beberapa fokus utama termasuk kerangka khusus pendekatan teknik TUBE, organisasi dan tuntutan perubahan+model perubahan, elemen ‘High-Tech’ dan ‘High-Touch’ dari dimensi TUBE dan mengaplikasikan teknik dalam merangka pelan tindakan peringkat organisasi dan individu,” jelas beliau.
Program ini disifatkan sebagai platform khusus melibatkan pendekatan tadbir urus konvensional, tadbir urus insani dan tadbir urus secara organisasi yang memberi nilai tambah dan peningkatan keberkesanan seluruh proses dan tatacara kepada anggota organisasi dalam pemantapan pentadbiran. Kedua-dua program latihan berkenaan dijalankan dengan kerjasama Pejabat Wali kota Bandung, Indonesia yang mana peserta turut dibawa melawat Bandung Command Centre dan juga mendengar taklimat tentang proses transformasi Bandung sebagai bandar pintar (smart city).
“MTalent amat berterima kasih dengan sokongan dan komitmen yang telah dizahirkan oleh rakan strategik di Bandung ini, terutamanya dari Sekretaris Dinas Komunikasi, Informatika dan Statistik provinsi DKI Jakarta dan Sekretaris Jabatan Informasi & Komunikasi Kota Bandung,” ujarnya lanjut.
Program TUBE, yang mengenengahkanTranformasi Organisasi melalui pendekatan Tadbir Urus bersepadu telah dihadiri oleh pegawai-pegawai tadbir dari beberapa agensi kerajaan termasuk, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Universiti Sains Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, Institut Tanah dan Ukur Negara dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Menurut ketua cawangan pembangunan organisasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Puan Azaria Zakaria berkata, program ini merupakan satu pendekatan dan konsep secara holistik, terbaik dan strategik, justeru itu hasil aplikasi program
ini dapat dikongsikan dan dilaksanakan kepada agensi-agensi kerajaan serta boleh memperkasakan organisasi sesabuah jabatan.
Penolong Setiausaha seksyen pemantauan projek dan penyelerasan strategik Jabatan Perdana Menteri, Wan Nur Famieza Wan Rahimi, pula berkata , beliau bersyukur dan bertuah kerana program ini membuka peluang baru konsep transformasi dalam sesabuah jabatan, manakala ianya membuka pengalaman baru dengan cara kerja budaya negara lain.
Sementara itu, Ketua program Bahagian Pemetaan Bahagian Ukur dan Pemetaan, Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN), Mohd Zaidi Zakaria berkata program ini adalah platform terbaik dan wajar diberi peluang kepada kakitangan INSTUN yang lain. ‘’Satu program yang baik dan memberi menafaatkan kepada pengurusan pentadbiran, serta nilai tambah kepada organisasi dalam membentuk visi dan hala tuju dengan lebih baik,’’ ujarnya.
Majlis penutup dan penyampaian sijil bagi kumpulan kedua telah disempurnakan oleh Panel Penasihat MTalent, Dato’Hamdan Bahari. Beliau juga telah menyampaikan perkongsian pengalaman mengenai komunikasi dalam pentadbiran kepada peserta program.