Skip to main content

MTalent Santuni 21 Pelajar KITAB Menerusi Sumbangan Zakat Wakalah

PULAU PINANG, 5 November 2026 – MTalent Training & Consultancy Services Sdn. Bhd. (MTalent) meneruskan komitmen tanggungjawab sosial korporatnya melalui penyampaian sumbangan zakat wakalah kepada 21 orang pelajar Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MTalent, Yang Berbahagia Dato’ Dr. Musa Ali, sebagai usaha membantu meringankan beban kewangan pelajar serta menyokong kelangsungan pengajian mereka.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Yang Berbahagia Profesor Emeritus Dato’ Dr. Haji Abd Aziz bin Tajuddin, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), dan Yang Berbahagia Profesor Madya Dr. Wan Nazjmi bin Mohamed Fisol, Rektor KITAB.

Seramai 21 orang pelajar daripada pelbagai program pengajian menerima manfaat sumbangan tersebut, termasuk pelajar Diploma Tahfiz Al-Quran, Diploma Syariah, Diploma Pengajian Islam, Diploma Pengurusan Halal, Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak serta program sijil pengajian Islam.

Dalam ucapannya, Rektor KITAB, Profesor Madya Dr. Wan Nazjmi bin Mohamed Fisol, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak MTalent, khususnya Dato’ Dr. Musa Ali, atas keprihatinan dan kesudian menyalurkan sumbangan zakat kepada para pelajar KITAB.

Beliau turut menghargai komitmen MTalent dalam menyokong pembangunan pendidikan dan kebajikan pelajar, khususnya mereka yang memerlukan bantuan kewangan bagi meneruskan pengajian.

Sementara itu, Dato’ Dr. Musa Ali dalam ucapannya menasihatkan para pelajar agar memberikan sepenuh tumpuan terhadap pelajaran, memanfaatkan peluang pendidikan yang diperoleh serta sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan akademik dan pembentukan sahsiah diri.

Beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan dalam pendidikan bukan sekadar untuk kepentingan peribadi, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui sumbangan bermakna kepada keluarga, masyarakat, agama dan negara.

“Gunakanlah peluang menuntut ilmu ini dengan sebaik-baiknya. Belajarlah bersungguh-sungguh, bina sahsiah yang baik dan apabila berjaya kelak, kembalilah menyumbang kepada masyarakat. Kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui pencapaian diri, tetapi juga melalui manfaat yang dapat kita berikan kepada orang lain,” katanya.

Menurut beliau, sumbangan zakat wakalah ini juga mencerminkan keyakinan MTalent bahawa pendidikan merupakan antara instrumen terpenting dalam membangunkan modal insan berkualiti dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Inisiatif tersebut selaras dengan aspirasi MTalent yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan kompetensi, kepimpinan dan kecemerlangan organisasi, malah turut komited menyumbang kepada pembangunan insan melalui pendidikan dan tanggungjawab sosial.

Majlis penyampaian zakat wakalah ini diharapkan dapat memberikan dorongan kepada para pelajar KITAB untuk terus berusaha mencapai kejayaan serta menjadi insan berilmu, berakhlak dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat pada masa hadapan.

Hubungi kami untuk maklumat lanjut tentang program, modul dan sistem yang MTalent tawarkan.