Skip to main content

Bandung Jadi Medan Pembelajaran Transformasi Digital Sabah

BANDUNG, INDONESIA, 30 Oktober 2026 – Kejayaan inisiatif Bandung Smart City yang dimulakan sejak sedekad yang lalu di Bandung Indonesia menjadi makmal pembelajaran untuk melihat secara lebih dekat dan terperinci bagaimana transformasi digital sebuah bandaraya, khusus nadinya Bandung Command Centre dirancang dan dilaksanakan dan impaknya kepada penduduk disekitar Bandung.

Seramai 15 orang pegawai Kerajaan Negeri Sabah menyertai program pembangunan kompetensi antarabangsa bertajuk Future Public Service Lab: Reimagining Digital Government Through Innovation, Technology & Global Practice yang berlangsung dari 27 Oktober hingga 1 November 2026 di Bandung, Indonesia.

Program anjuran MTalent Training & Consultancy Services Sdn. Bhd. itu bertujuan memperkukuh pengetahuan, kompetensi serta keupayaan pegawai dalam menerajui transformasi digital sektor awam melalui pendedahan kepada inovasi, teknologi dan amalan terbaik pentadbiran kerajaan di Indonesia.

Program ini menampilkan barisan penceramah dan pengamal berpengalaman dari Malaysia dan Indonesia yang berkongsi perspektif strategik serta pengalaman sebenar dalam melaksanakan agenda transformasi organisasi dan perkhidmatan awam.

Antara penceramah yang terlibat ialah Dato’ Dr. Adnan Hussein, Panel Pakar MTalent, yang membincangkan kerangka transformasi digital dan tuntutan perubahan organisasi, serta Umar Said Habibullah dari Institut Teknologi Bandung yang berkongsi pengalaman Indonesia dalam melaksanakan transformasi digital sektor awam.

Peserta turut mendapat pendedahan mengenai pelaksanaan strategi pembangunan bandar melalui perkongsian Ir. Adi Junjunan Mustafa, Kepala Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Kota Bandung, serta pengalaman transformasi digital Kota Jakarta yang disampaikan oleh Einst Rengga Damahatko dari Dinas Komunikasi, Informatika dan Statistik Provinsi DKI Jakarta.

Selain itu, Ganjar Setya Pribadi, Ketua Penilaian Teknologi dan Smart City  Pembangunan Ekosistem Kota Bandung, berkongsi pengalaman serta pendekatan strategik dalam mentransformasikan Kota Bandung ke arah pembangunan bandar pintar (Smart City).

Salah satu komponen utama program ialah lawatan penanda aras ke Command Centre Kota Bandung bagi memberikan pendedahan secara langsung mengenai penggunaan teknologi, data dan sistem pemantauan dalam menyokong perancangan bandar, penyampaian perkhidmatan serta proses membuat keputusan pihak berkuasa tempatan.

Program ini menggunakan pendekatan pembelajaran MTalent yang merangkumi tiga domain utama, iaitu Concepts and Strategies (Understand), Best Practices (Experience) serta Reflection and Action (Reflect & Act).

Melalui pendekatan ini, peserta bukan sahaja didedahkan kepada konsep dan strategi transformasi digital, malah berpeluang meneliti amalan sebenar serta mengenal pasti inisiatif yang boleh disesuaikan dan dilaksanakan dalam konteks pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah.

Program ini turut merangkumi sesi refleksi dan pembentangan kumpulan bagi membolehkan peserta merumuskan pembelajaran serta mengemukakan cadangan penambahbaikan yang berpotensi meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan kualiti penyampaian perkhidmatan awam negeri.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan MTalent dalam menyokong pembangunan modal insan dan memperkukuh keupayaan transformasi sektor awam melalui perkongsian pengetahuan, pengalaman serta amalan terbaik antarabangsa.

Hubungi kami untuk maklumat lanjut tentang program, modul dan sistem yang MTalent tawarkan.