15 Pegawai Awam Selesai Ikuti CCAP 2026
PUTRAJAYA, 29 September 2026 – Seramai 15 pegawai awam daripada pelbagai skim perkhidmatan berjaya menamatkan China Companies Attachment Programme (CCAP) 2026 yang dikendalikan oleh MTalent Training & Consultancy Services Sdn. Bhd. (MTalent), melibatkan program sangkutan industri di lima syarikat teknologi terpilih di Shenzhen, China.
Program ini dirangka bagi memberi pendedahan secara langsung kepada pegawai awam mengenai ekosistem inovasi, kecerdasan buatan (AI), transformasi digital, budaya kerja serta amalan pengurusan syarikat teknologi di China.

CCAP 2026 bermula dengan latihan persediaan pada 1 hingga 3 September 2026, sebelum peserta berlepas ke China pada 5 September 2026. Seterusnya, peserta menjalani program sangkutan industri (company attachment) selama dua minggu, bermula 7 hingga 18 September 2026, di lima syarikat terpilih, iaitu Ulike, Seego, Kingsun, Rabbitpre dan Octopus Times.
Sepanjang tempoh sangkutan, peserta berpeluang mempelajari secara langsung pendekatan pengurusan, aplikasi teknologi, strategi inovasi dan budaya kerja yang menjadi pemacu kejayaan syarikat berkenaan.
Sebelum kembali ke Malaysia, para peserta turut mengikuti CCAP Lecture Series dan sesi Group Reflection di China bagi mengintegrasikan pengalaman pembelajaran sepanjang program sangkutan dengan keperluan transformasi sektor awam Malaysia. Sesi ini memberi ruang kepada peserta berkongsi penemuan utama, menilai amalan terbaik serta mengenal pasti pendekatan inovatif yang berpotensi disesuaikan dalam organisasi masing-masing.
Program ini kemudiannya diakhiri dengan sesi Individual Reflection pada 28 dan 29 September 2026 di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Melalui sesi tersebut, setiap peserta membentangkan pembelajaran utama, cadangan penambahbaikan serta komitmen individu untuk menterjemahkan pengalaman antarabangsa kepada tindakan yang praktikal dalam organisasi masing-masing.
Menurut Dato’ Dr. Musa Ali, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MTalent, CCAP bukan sekadar program lawatan atau pendedahan antarabangsa, sebaliknya merupakan pendekatan pembangunan kepimpinan yang menekankan pembelajaran melalui pengalaman sebenar, perkongsian amalan terbaik dan refleksi strategik.
“Nilai sebenar program ini bukan hanya terletak pada pengalaman berada di syarikat teknologi antarabangsa, tetapi pada keupayaan peserta menterjemahkan pengetahuan dan pengalaman tersebut kepada perubahan yang bermakna dalam organisasi masing-masing. Inilah prinsip Translating Vision into Action yang menjadi teras pendekatan MTalent,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendedahan kepada ekosistem teknologi dan inovasi di Shenzhen dapat membantu membentuk pemikiran baharu dalam kalangan pegawai awam, khususnya dalam memperkukuh keupayaan adaptasi, inovasi dan kepimpinan perubahan.

Pelaksanaan CCAP 2026 yang menggabungkan latihan persediaan, sangkutan industri antarabangsa, siri kuliah, refleksi kumpulan dan refleksi individu memperlihatkan pendekatan pembangunan bakat yang menyeluruh, sistematik dan berorientasikan aplikasi.
Kejayaan kesemua 15 peserta menamatkan program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pembaharuan pengurusan, peningkatan kecekapan dan pengukuhan budaya inovasi dalam perkhidmatan awam Malaysia.
MTalent komited untuk terus memperluas pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman antarabangsa melalui kerjasama strategik dengan organisasi dan industri global bagi melahirkan pemimpin sektor awam yang berwawasan, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
MTalent – Translating Vision into Action
Hubungi kami untuk maklumat lanjut tentang program, modul dan sistem yang MTalent tawarkan.