Pentadbir Berjiwa Besar Tunggak masa depan Universiti

KUALA TERENGGANU, 4 September 2025 – Sempena Sambutan Hari Pentadbir peringkat Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Pusat Pembangunan Bakat UMT telah menganjurkan Program Wacana Kepimpinan yang menampilkan tokoh pentadbiran universiti, YBhg. Dato’ Dr. Musa bin Ali, Ketua Pegawai Eksekutif MTalent Training & Consultancy Services Sdn Bhd yang juga mantan Pendaftar USM.
Bertempat di Auditorium Sulaiman, UMT, program tersebut mendapat perhatian istimewa dengan kehadiran YBrs. Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri bin Ibrahim, Naib Canselor UMT, diiringi barisan pegawai utama universiti, ketua pusat tanggungjawab, timbalan dekan, ketua jabatan, pengerusi bidang, penyelaras program serta pegawai bukan akademik gred 12 ke atas . Kehadiran mereka mencerminkan sokongan padu terhadap usaha memperkukuh budaya kepimpinan yang berwibawa dan progresif dalam kalangan pentadbir universiti.
Dalam wacana bertajuk “Pentadbir Berjiwa Besar: Unggul Prestasi, Cemerlang Organisasi”, Dato’ Dr. Musa berkongsi pengalaman lebih 33 tahun dalam dunia pentadbiran universiti, khususnya ketika menerajui transformasi besar di Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau menegaskan bahawa pentadbir berjiwa besar ialah mereka yang bukan sahaja cekap dalam prestasi kerja, tetapi juga teguh berpegang pada nilai integriti, empati dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan penting.
“Pentadbir berjiwa besar mampu menyeimbangkan kecekapan teknologi dengan nilai kemanusiaan, serta mengangkat peranan pentadbir bukan akademik sebagai tulang belakang kecemerlangan universiti,” ujar beliau dalam ucapannya.
Dato’ Dr. Musa turut menekankan isu inovasi digital, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan universiti, kepentingan integriti serta cabaran membina hubungan profesional antara semua lapisan warga universiti.
Majlis disusuli dengan sesi soal jawab interaktif yang dipandu oleh moderator, Encik Mohd Juhari bin Ab Kadir (Bahagian Audit Dalam) dan Puan Noor Hazila binti Hashim (Pejabat Pendaftar), sebelum diakhiri dengan sesi bergambar kenangan bersama Naib Canselor, barisan kepimpinan universiti dan seluruh peserta.
Penganjuran program ini menjadi simbolik kepada usaha UMT dalam menghargai jasa dan peranan penting pentadbir sempena sambutan Hari Pentadbir, di samping memberi inspirasi kepada generasi pentadbir muda untuk terus berjiwa besar demi kelestrian pembangunan universiti.