KESUMA Adakan Lawatan ke MTalent Bagi Perkukuh Kerjasama Latihan & Pembangunan Bakat

PULAU PINANG, 9 September 2025 - Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran telah mengadakan lawatan ke MTalent Training & Consultancy Services Sdn Bhd (MTalent) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pembangunan bakat, transformasi perkhidmatan awam dan pendigitalan latihan.
Lawatan ini diketuai oleh Encik Mohd Syukri bin Ismail, Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, KESUMA dan disambut oleh Dato’ Dr. Musa Ali, Ketua Pegawai Eksekutif MTalent, bersama barisan pengurusan syarikat. Perbincangan tertumpu kepada mekanisme latihan kepimpinan, sistem penilaian prestasi, pelan penggantian (succession planning), serta aplikasi digital yang dibangunkan MTalent untuk menyokong pembangunan kompetensi staf di agensi.
Dalam sesi taklimat, Dato’ Dr. Musa Ali berkongsi pengalaman MTalent yang telah menganjurkan pelbagai program latihan berprestij di peringkat antarabangsa, termasuk kerjasama dengan pelbagai agensi tempatan dan antarabangsa. Beliau menekankan bahawa gabungan kepakaran tempatan dengan jaringan global adalah kunci dalam melahirkan pemimpin berjiwa besar yang mampu menghadapi cabaran masa depan.
“Kami percaya lawatan ini akan membuka ruang sinergi baharu, khususnya dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang selari dengan aspirasi Malaysia MADANI,” ujar Dato’ Dr. Musa.
Pihak JPK, KESUMA dalam pada itu turut berkongsi aspirasi kementerian untuk memperkukuh sistem latihan vokasional, kenaikan pangkat berasaskan kriteria kecemerlangan, dan pembangunan bakat nasional. Lawatan ini dilihat sebagai platform penting untuk membina jaringan kerjasama jangka panjang antara agensi kerajaan dan MTalent.
Lawatan KESUMA ini mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan MTalent sebagai rakan strategik dalam memperkukuh agenda pembangunan modal insan negara, khususnya dalam melahirkan pentadbir dan tenaga kerja berdaya saing di peringkat global.