MTalent Perkukuh Peranan Global Melalui Penganjuran Program Antarabangsa di Munich, Jerman

MUNICH, 17 Mei 2025 – MTalent Training & Consultancy Services Sdn. Bhd. (MTalent) sekali lagi membuktikan komitmen terhadap pembangunan bakat dan kepimpinan sektor awam Malaysia dengan menganjurkan MTalent International Outreach Programme – Munich yang berlangsung selama tujuh hari di Munich, Jerman. Dengan tema “Innovation Ecosystem: A European Perspective”, program ini memberi peluang kepada peserta untuk memahami kepentingan ekosistem inovasi dalam memperkukuh prestasi sektor awam, di samping mendedahkan mereka kepada amalan terbaik dari negara-negara Eropah yang terkenal dengan keupayaan membina sistem inovasi secara mampan dan menyeluruh.
Program ini disertai oleh seramai 20 peserta yang terdiri daripada pegawai pelbagai kementerian dan agensi kerajaan Malaysia, sekali gus mencerminkan kepelbagaian pengalaman dan bidang kepakaran yang dibawa ke dalam perbincangan sepanjang program. Kehadiran pelbagai wakil agensi ini menjadikan perbincangan lebih bernilai kerana peserta bukan sahaja menimba ilmu, malah berpeluang bertukar pandangan rentas sektor untuk memperkukuh kefahaman bersama.
Ketua Pegawai Eksekutif MTalent, Dato’ Dr. Musa Hj. Ali, dalam ucapan aluannya menegaskan bahawa program ini dirangka khusus untuk menghubungkan pemimpin sektor awam Malaysia dengan ekosistem inovasi di peringkat antarabangsa. Beliau menekankan bahawa Munich dipilih kerana ia merupakan hab inovasi utama di Eropah, dengan jaringan kukuh antara kerajaan, akademia, industri, serta masyarakat. “Melalui program ini, kita bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu, tetapi juga membina rangkaian strategik yang mampu mendorong reformasi sektor awam di Malaysia,” katanya.
Sepanjang program, peserta berpeluang mengikuti siri kuliah dan sesi perkongsian daripada pakar antarabangsa. Antara pengisian utama termasuk kuliah oleh Profesor Carmine Bianchi dari University of Palermo, Itali, yang mengupas konsep ekosistem inovasi serta amalan terbaik dari Itali; pembentangan oleh Danial Dossenbach, Penasihat Saintifik dari State Secretariat for Education, Research and Innovation (SERI), Switzerland, mengenai pendekatan Switzerland dalam menyokong inovasi berasaskan penyelidikan; serta sesi motivasi “How to be Innovative” oleh Alexander Noack, Ketua Pegawai Eksekutif ANC. Program ini turut merangkumi sesi perbincangan kumpulan bagi membolehkan peserta membentuk cadangan strategi yang boleh terus diaplikasikan dalam organisasi masing-masing setelah tamat program.
Program ini juga menampilkan lawatan kerja ke beberapa institusi inovasi terkemuka di Munich dan sekitarnya. Peserta mengunjungi Werk1, inkubator inovasi digital yang menjadi pusat sokongan kepada syarikat pemula (start-up) berasaskan teknologi; Gruendwerk, pusat co-working yang melahirkan ramai usahawan muda Jerman; dan Department of Labor and Economic Development, City of Munich, yang bertanggungjawab merangka dasar bandar raya dalam memacu inovasi serta keusahawanan. Peserta juga dibawa ke Grafing, sebuah bandar kecil berhampiran Munich, untuk memahami inisiatif inovasi sosial yang diterajui oleh Datuk Bandar dalam menggabungkan komuniti dengan kerajaan tempatan. Lawatan ini membolehkan peserta melihat secara langsung bagaimana inovasi dipraktikkan, bukan sahaja di peringkat bandar raya besar tetapi juga dalam konteks komuniti tempatan.
Program yang ditutup dengan pembentangan pelan tindakan oleh kumpulan peserta ini menumpukan kepada cara-cara mengadaptasi pengetahuan dan pengalaman dari Jerman, Itali, dan Switzerland ke dalam konteks Malaysia. Majlis penutup turut diserikan dengan penyampaian sijil kepada para peserta sebagai simbolik pengiktirafan pencapaian mereka. Dato’ Dr. Musa menegaskan bahawa kejayaan penganjuran di Munich ini membuktikan peranan MTalent sebagai platform penting dalam menterjemahkan visi kepada tindakan (Translating Vision into Action). “Kita tidak sekadar menimba ilmu, tetapi mengolahnya agar sesuai dengan realiti tempatan. Inilah yang akan mempercepatkan usaha reformasi sektor awam ke arah yang lebih progresif, berdaya tahan, dan kompetitif di peringkat global,” ujarnya.
Dengan pengalaman berharga di Munich ini, MTalent berhasrat memperluaskan lagi jaringan antarabangsa pada masa hadapan. Penganjuran di Jerman ini sekaligus mengukuhkan reputasi MTalent sebagai organisasi latihan dan perundingan Malaysia yang mampu berdiri sama tinggi dengan rakan antarabangsa, seterusnya memacu agenda transformasi sektor awam negara melalui perspektif global