Skip to main content

Peserta Diseru Terapkan Nilai Dan Disiplin Kerja Tinggi Dalam Sektor Awam

TOKYO, 20 November 2025 – Program MTalent International Outreach Programme (IOP) 2025 telah melabuhkan tirainya hari ini dengan amanat bermakna daripada Pengerusi Japan–Malaysia Association (JMA) yang juga ahli parlimen terkemuka Jepun, Yang Berhormat Tuan Keiji Furuya, yang menyeru peserta program untuk menerapkan nilai, disiplin tinggi di samping budaya peningkatan berterusan dalam organisasi masing-masing.

Majlis penutup yang berlangsung di The First Members’ Office Building of the House of Representatives, Nagatacho itu turut dihadiri oleh Presiden Japan Malaysia Association, Encik Takakazu Ogawa, Pengerusi Panel Penasihat MTalent, Dato Dr Omar Osman, Ketua Pegawai Eksekutif MTalent, Dato’ Dr. Musa Hj. Ali, Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Malaysia di Jepun En. Zainal Azlan Mohd Nadzir dan pengurusan tertinggi JMA yang lain.

Dalam ucapan penutupnya, Furuya menegaskan bahawa hubungan Malaysia–Jepun dalam bidang pembangunan sumber manusia semakin kukuh, dan platform seperti MTalent IOP ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta dalam rangka memacu transformasi organisasi serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.

Sepanjang program tujuh hari ini, para peserta telah melalui pelbagai sesi pembelajaran melibatkan perkongsian amalan terbaik daripada pakar dan institusi ternama Jepun, antaranya Universiti Tokyo, National Graduate Institute for Policy Studies (GRIPS), Japan–Malaysia Association (JMA), City of Kobe, Ministry of Internal Affairs and Communications (MIC) dan Tokyo Metropolitan Government.

Selain itu, peserta turut menyertai aktiviti pembelajaran budaya seperti Japanese Calligraphy, yang dirangka untuk memperkukuh kefahaman terhadap disiplin, ketelitian dan nilai kerja masyarakat Jepun.

Seramai 24 orang peserta dari pelbagai Kementerian dan agensi Kerajaan menghadiri program ini yang dianjurkan oleh MTalent dengan kerjasama Japan Malaysia Association dan pelbagai rakan startegik lain di Jepun.

Hubungi kami untuk maklumat lanjut tentang program, modul dan sistem yang MTalent tawarkan.